Sambungan
Perbuatan-perbuatan yang membatalkan puasa
1. Makan, minum dan memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan terbuka dengan sengaja pada siang hari.
Orang yang sedang bersahur tiba-tiba masuk waktu subuh dalam keadaan di dalam mulutnya ada makanan, dia hendaklah mengeluarkan makanan yang ada di dalam mulutnya dan menyempurnakan puasanya. Seandainya sudah masuk waktu subuh, dia tetap terus makan makanan tersebut, maka tidak ada khilaf dalam kalangan ulama' batal puasanya.
* Sebahagian ustaz dan penceramah di Malaysia cuba membawa kekeliruan dalam minda masyarakat dengan membawa sebuah hadis yang sohih darjatnya, lantas menyatakan masih boleh makan walaupun masuk waktu subuh tanpa memeriksa maksud sebenar hadis tersebut. Pendapat tersebut bertentangan dengan Ijma' ulama'. Hadis tersebut adalah hadis riwayat Abu Hurairah, sabda nabi:
"Seandainya seseorang daripada kamu mendengar azan dan bekas makanan ada dihadapan kamu, maka janganlah letakkan bekas makanan tersebut (berhenti makan) sehinggalah kamu menyelesaikan hajat kamu (habiskan makanan)" (Riwayat Al-Baihaqi, Sohih mengikut syarat Imam Muslim)
Sebahagian penceramah cuba mentafsir dan menyatakan kita masih boleh makan selepas azan subuh sampai habis makanan yang ada dalam pinggan kita, tapi tak boleh tambah (saya dengar dari seorang ustaz, penceramah dikenali masyarakat setempat, lepasan Mesir di salah sebuah surau di Kuala Lumpur). Pendapat yang dibawa oleh ustaz tersebut jelas bertentangan dengan Al-quran, Hadis dan Ijma'. Ada sebuah hadis yang menjelaskan hadis tersebut.
" Sesungguhnya Bilal Azan pada waktu malam (belum masuk waktu Subuh) maka makan dan minumlah sehingga Ibnu Ummi Maktum azan" (Sohih Bukhari)
Seperti yang telah diperbahaskan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Majmu', hadis tersebut dapat difahami nabi mempunyai dua muazzin: Bilal dan Ibnu Ummi maktum. Bilal azan sebelum waktu subuh dan Ibnu Ummi Maktum azan pada waktu Subuh. Ini bermakna hadis pertama tadi yang menyuruh orang menghabiskan makanan setelah dengar azan, adalah azan yang dilaungkan oleh Bilal (sebelum waktu subuh) adapun ketika azan kedua yang dilaungkan oleh Ibnu Ummi Maktum (azan subuh) tidak boleh makan, barangsiapa yang meneruskan makan Ijma' ulama' mengatakan batal puasanya."
2. Muntah dengan sengaja. Sabda Nabi:
" Barangsiapa yang muntah dengan sengaja wajib qada' puasa, barangsiapa yang muntah tidak sengaja tidak wajib qada' puasa"
3. Berjima' dengan sengaja pada siang hari. Fiman Allah:
"Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam"
* Orang yang bersetubuh pada siang hari wajib qada'' puasanya dan melaksanakan kafarah. Kafarah bagi mereka yang berjima' pada siang hari Ramadan adalah bebaskan seorang hamba, seandainya tidak mampu puasa dua bulan berturut-turut, seandainya dia tidak mampu juga berikan makanan kepada 60 orang miskin. Abu Hurairah berkata:
" Nabi s.a.w mengarahkan seorang lelaki yang melakukan persetubuhan bersama isterinya sehari pada siang Ramadan membebaskan seorang hamba. Dia berkata: "Aku tidak mampu" Nabi berkata: "Puasalah dua bulan berturut-turut" Dia berkata: "Aku tidak mampu" Nabi berkata: " Berikanlah makanan kepada 60 orang miskin"......" (Sunan Abu Daud)
* Seandainya seseorang lelaki melakukan hubungan suami isteri melalui selain daripada faraj ataupun mencium isterinya lalu keluar air mani, maka batal puasanya. Seandainya tidak keluar air mani, puasa lelaki tersebut tidak terbatal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir:
" Aku telah mencium isteriku ketika sedang berpuasa, maka aku berjumpa nabi dan berkata: "aku telah mencium isteriku ketika sedang berpuasa." Nabi berkata: Adakah kau lihat seandainya kau berkumur-kumur ketika berpuasa (boleh membatalkan puasa?) ( Sohih riwayat Abu Daud)
* Seandainya ketiga-tiga perkara tersebut dilakukan disebabkan terlupa tidak batal puasa ini berdasarkan sebuah hadis:
" Barangsiapa yang terlupa (dia berpuasa) lalu makan dan minum maka sempurnakanlah puasanya kerana Allah yang memberinya makan dan minum" (Sohih Bukhari dan Muslim)
4. Hilang akal.
Gila dan pitam membuatkan puasa terbatal. Bezanya orang yang pitam perlu qada' puasa manakala orang yang gila tidak perlu qada' puasa. (telah diperbahaskan secara detail dalam artikel sebelum ini)
5. Murtad
Orang yang murtad terbatal puasanya. Beza orang yang murtad dan kafir, orang kafir tidak perlu mengqada'kan puasa yang tidak dilakukannya ketika kafir, manakala orang yang murtad wajib mengqada' segala puasa wajib yang ditinggalkan ketika murtad.
6. Haid dan Nifas
Haram dan tidak sah seorang perempuan yang didatangi haid/nifas berpuasa. Mereka diwajibkan qada' selepas suci daripada haid dan nifas Saidatina Aisyah berkata:
" Ketika haid kami diarahkan (Rasulullah) Qada' puasa dan kami tidak diarahkan qada' solat" (Sohih Muslim)
No comments:
Post a Comment